Wednesday, May 13, 2020

Selamat Datang ke Blog Saya !


Trip ke Kampung Makam, Kota Tinggi.
                                                         
    Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua! Hari ini saya akan menceritakan pengalaman saya mengikuti trip ke Kota Tinggi. Secara lazimnya, Kota Tinggi sebenarnya bukanlah tempat yang asing bagi saya kerana ia merupakan kampung halaman saya. Kota Tinggi juga boleh dikategorikan sebagai rumah kedua saya kerana kami sekeluarga kerap pulang ke kampung pada cuti sekolah untuk melawat nenek, tetapi apakah yang membuatkan saya teruja untuk menyertai trip ini?  Mana tidaknya, Kota Tinggi pun sudah jemu melihat muka saya. Antara sebab mengapa saya sangat teruja untuk menyertai trip ini adalah kerana tempat yang akan kami lawati adalah Kampung Makam. Hal ini adalah kerana saya tidak pernah mengetahui di manakah terletaknya Kampung Makam walaupun ianya merupakan antara perkampungan di Kota Tinggi. Hal ini disebabkan kampung halaman saya terletak agak jauh dari perkampungan tersebut iaitu di Kampung Seluyut.

     Mendengar nama kampung tersebut sahaja sudah menarik bukan? Sebab itulah saya sangat teruja untuk menyertai trip ini. Saya menyertai trip ini bersama 11 orang rakan saya yang lain yang terdiri daripada enam lelaki dan enam perempuan. Kami diuruskan oleh Puan Maziah dan suaminya iaitu Encik Ariffin selaku penjaga kami ketika di sana. Puan Maziah dan Encik Ariffin merupakan ibu bapa kepada salah seorang peserta trip ini. Mereka jugalah yang menganjurkan trip ini. Kami hanya perlu membayar RM50 untuk trip ini yang berlangsung selama tiga hari dan dua malam. Trip ini berlangsung pada 21 November hingga 23 November 2019.

                                         
Kenderaan kami untuk ke Kota Tinggi.



    Kami bertolak daripada MRSM Tun Dr. Ismail pada hari khamis, 9.00 pagi menaiki sebuah van. Kami dibawa oleh Puan Maziah dan suaminya menuju ke destinasi yang ingin dituju. Setelah 30 minit perjalanan, saya lena dibuai mimpi di dalam perut kereta. Maklumlah, saya seorang yang senang terlena apabila menaiki kenderaan. Setelah hampir dua jam van dipandu, kami pun tiba di Kampung makam, Kota Tinggi, Johor pada pukul 10.45 pagi. Lokasi pertama yang kami lawati adalah tempat penginapan . Kami diberikan sebuah bilik yang selesa untuk berehat dan menginap sepanjang tempoh trip ini berlangsung. Manakala pelajar lelaki tinggal di homestay yang berdekatan dengan tempat penginapan kami. 

                           


 Bilik yang disediakan sebagai tempat penginapan kami.

 
   Tandas yang disediakan berdekatan dengan bilik.

                  
     Selepas meletakkan beg di dalam tempat penginapan, tanpa melengahkan masa, kami terus menuju ke lokasi yang seterusnya iaitu Makam Laksamana Bentan dan makam isterinya, Dang Anum. Oleh kerana lokasi makam tersebut tidak jauh daripada tempat penginapan kami maka ia tidak mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi tersebut.

       Pasti ramai yang tertanya-tanya bukan, siapakah Laksamana Bentan dan Dang Anum? Saya pasti ada dikalangan pembaca yang pernah mendengar nama tersebut tetapi di mana ya? Mari saya ceritakan serba sedikit kisah hidup Laksamana Bentan atau nama sebenarnya adalah Megat Seri Rama dan Dang Anum secara ringkas. Sebenarnya, Dang Anum merupakan isteri kepada Laksamana Bentan yang  sedang sarat mengandung pada suatu masa dahulu. Pada suatu hari, Dang Anum pergi bertemu penghulu kebun Sultan yang membawa sebuah nangka untuk dipersembahkan kepada Sultan. Dang Anum kemudiannya meminta seulas nangka kerana terlalu mengidam. Ketika Sultan Mahmud Syah hendak bersantap, alangkah terkejut dan murkanya baginda apabila menyedari bahawa nangkanya diusik orang. Maka, Dang Anum pun ditangkap dan dibelah perutnya dan menyebabkan kematian kepada sang ibu dan anak meninggal dunia. Beberapa hari kemudian, Laksamana telah kembali ke Kota Tinggi dengan membawa kejayaan yang cemerlang bagi angkatan tentera Johor. Laksama Bentan pun pulang ke rumah untuk berjumpa dengan isteri dan anaknya dengan harapan yang tinggi. Namun, ada yang bergolak di hatinya. Pertanyaan demi pertanyaan sering menjentik hati dan perasaannya. Dia hanyut dibawa arus resah setelah seharian mencari isterinya yang kian menghilang. Perasaannya didera kebimbangan. Akhirnya, dia mendapat berita buruk daripada Tun Aman yang mengatakan bahawa isterinya telah mati dibunuh oleh Sultan. Setelah mendapat tahu isteri dan anaknya telah mati dibunuh, hatinya hancur bagaikan kaca yang terhempas ke batu. Hatinya luluh diselaputi beribu pilu. Oleh kerana kebenciannya terhadap Sultan terperi jelas dalam ingatannya, Laksamana Bentan bertekad untuk membalas dendam atas kematian isterinya yang tercinta. Tepat pada hari Jumaat ketika Sultan Mahmud Syah bersama pembesar telah berangkat ke masjid untuk bersembahyang, alangkah terkejutnya baginda kerana Laksamana Bentan berdiri sambil menghalang perjalanan baginda. Tanpa membuang sebarang waktu, Laksamana Bentan terus menikam Sultan menggunakan kerisnya. Sebelum Sultan menghembuskan nafasnya yang terakhir, baginda sempat menikam tapak kaki Laksamana Bentan menggunakan keris dan bersumpah bahawa ujuh keturunan laksamana tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi. Secara tiba-tiba, Laksamana Bentan memuntahkan darah dan akhirnya mati.

          
Makam Laksamana Bentan.


Makam Dang Anum.

    Kami diberitahu oleh Encik Hassan, individu yang menjaga kebersihan dan kelestarian kawasan ini bahawa batu nisan yang ditanam disitu bukanlah batu nisan yang sebenar. Hal ini adalah kerana batu nisan yang sebenar telah dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan sehinnga hari ini, masih tiada sumber yang dapat memastikan kedudukan makam Laksamana Bentan dan Dang Anum yang sebenar tetapi masyarakat tempatan lebih mempercayai kubur yang dikelilingi pagar merupakan kubur Laksamana Bentan dan yang tidak dikelilingi pagar merupakan kubur isterinya.

      
                                    Encik Hassan memberikan keterangan tentang makam tersebut.

 
     Batu yang tertulis maklumat tentang makam tersebut dalam pelbagai bahasa. 


.
Kami membaca maklumat tentang makam tersebut dengan terperinci.

     Selepas selesai melawati Makam Laksamana Bentan dan Dang Anum, kami pergi ke lokasi yang seterusnya iaitu Makam Tohid. Makam Tohid merupakan tempat dimana para laksamana dan panglima dimakamkan. Kawasan Makam Tohid dikelilingi oleh tembok yang besar dan tebal yang diperbuat daripada kulit kerang dan telur. Tembok tersebut dipercayai telah dibina sejak zaman Sultan Mahmud Syah II dahulu. Tembok tersebut dijadikan kawasan pertahanan dan perlindungan daripada musuh yang datang menyerang. Walaupun tembok ini dipercayai sudah dibina sejak 500 tahun yang lalu, tembok ini masih kukuh dan tidak reput.
  
Gambar tambahan


Makam laksamana yang diletakkan di dalam kawasan bertembok tebal.


Kami sempat menangkap beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan.


Tembok besar sebagai dihadapan sebagai simbol pintu masuk.


   Terdapat sebuah rumah antik yang diperbuat daripada kayu. Saya begitu kagum melihat nilai estetika rumah kayu tradisional tersebut. Rumah tersebut kelihatannya sudah lama dibina tetapi  masih cantik dan berkilat. Kehadirannya di situ menarik minat saya untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang rumah itu lalu saya pun bertanya kepada Encik Hassan tentang rumah misteri tersebut. Saya merenung mata Encik Hassan dengan seliran tanda tanya dan perasaan ingin tahu yang amat tinggi.

   Encik Hassan berkata rumah tersebut dulunya, dipercayai sebagai tempat tinggal Dang Anum dan suaminya, Laksamana Bentan. Tahun dem tahun, generasi daripada keturunan Dang Anum akan betapak di rumah tersebut bagi mengekalkan kelestrarian rumah antik tersebut. Mereka jugalah yang memastikan nilai estetika rumah tersebut tidak mati ditelan zaman.


Gambar yang diambil berlatarkan Rumah Dang Anum.

Gambar tambahan.

    Selepas itu, kami meneruskan perjalanan kami ke lokasi yang seterusnya iaitu ke Makam Sultan Mahmud Syah II. Sultan Mahmud Syah II dimakamkam di kawasan para pemerintah Johor Riau yang terdahulu. Makam-makam tersebut dijaga rapi di dalam sebuah bangunan yang diukir dengan seni ukiran Islam yang kebiasaannya terdapat di sesebuah masjid. Saya amat kagum dengan seni ukiran diluar bangunan yang diukir secara teliti dan sangat kemas. Bagi memasuki bangunan tersebut anda perlulah membuka kasut agar tidak mengotorkan bahagian dalam bangunan.



Bahagian luar  bangunan makam Sultan Mahmud Syah II.


Tempat Makam Sultan Mahmud Syah II dimakamkan.


Senarai nama pemerintah Johor Riau yang dimakamkan di sini.


Bahagian luar kawasan makam secara lebih dekat.


Kami bergambar di pintu masuk bangunan.


Kami sempat bergambar di kawasan luar bangunan.


Kami sempat bergambar di papan tanda yang berada di luar pintu. 

     Diluar bangunan Makam Sultan Mahmud Syah II, terdapat satu kubur kecil yang menarik perhatian saya. Kami diberitahu oleh Encik Hassan bahawa ia merupakan kubur kucing kesayangan Sultan Mahmud Syah II yang diberi nama Si Comel atau lebih dikenali sebagai Kucing Bertanduk. Khabarnya, gelaran Kucing Bertanduk itu diberikan kepada kucing tersebut kerana ingin menggambarkan sebuah peristiwa bahawa Si Comel menunggu kepulangan tuannya , Sultan Mahmud Syah II yang telah mangkat dalam tempoh yang sangat lama sehingga mengeluarkan tanduk.

Kubur kucing kesayangan Sultan Mahmud Syah II.


     Tanpa melengahkan masa, kami pun bergegas menuju ke destanasi seterusnya. Sinaran lampu neon menghiasi pinggir jalan. Kenderaan yang lalu- lalang tidak kurang derasnya. Setelah 20 minit berada di dalam van, kami pun tiba di sebuah destinasi iaitu Muzium Kota Johor Lama. Muzium Kota Johor Lama ini terletak agak jauh daripada Makam Sultan Mahmud Syah II.


Kami bergambar di hadapan pintu masuk Muzium Kota Johor Lama.

   Bangunan Muzium Kota Johor Lama dari bahagian luar.

Batu yang tertulis maklumat tentang Muzium Kota Johor Lama.


      Setibanya kami di muzium tersebut, kami tidak boleh mengambil gambar atau video atas sebab - sebab yang tertentu. Muzium tersebut dijaga oleh seorang pengawal keselamatan. Di bahagian dalam muzium pula terdapat seorang lelaki yang menerangkan tentang sejarah Kota Tinggi dan artifak-artifak peninggalan berabad-abad tahun yang lalu. Di dalam muzium tersebut juga banyak memaparkan gambaran pemerintahan Johor Riau pada zaman dahulu.

     Selepas melawati Muzium Kota Johor Lama, kami mengambil beberapa keping gambar bersama memandangkan kami tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang gambar atau video ketika di dalam muzium. 

Kami bergambar di luar muzium.

Gambar tambahan.

    Selesai melawati Muzium Kota Johor Lama, kami singgah di masjid berdekatan untuk menunaikan solat zohor. Sesibuk manapun kita dengan urusan dunia, janganlah sekali-kali kita meninggalkan solat lima waktu kerana itu adalah kewajipan kita sebagai hambaNYA. Jam menunjukkan pkul 3.00 petang. Setelah selesai menunaikan solat fardhu, kami terus menuju ke lokasi yang seterusnya iaitu ke restoran yang terletak di Jeti Teluk Sengat. Memandangkan rojak mee merupakan menu yang sangat istimewa di Kota Tinggi, kami tidak melepaskan peluang untuk mencubanya apatah lagi apabila sudah berada di Kota Tinggi. Bak kata pepatah " alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan." 

   
Kami menikmati hidangan sambil menikmati pemandangan yang indah.

Kami bergambar di jeti Teluk Sengat

   Selesai menjamu selera, kami menemani Puan Maziah dan Encik Ariffin membeli pelbagai jenis lauk- pauk untuk dimasak pada keesokan harinya. Oleh kerana pemandangannya yang amat cantik dan tenang, kami tidak melepaskan peluang unrtuk menangkap beberapa keping gambar. 


Kami mengambil gambar di Jeti Nalayan Kampung Makam.
Gambar tambahan


     Setelah selesai ke Jeti Nelayan Kampung Makam, kami dibawa pulang ke tempat penginapan untuk menyiapkan diri bagi program yang akan berlangsung pada malam hari.

     Usai solat fardu maghrib, kami bersiap sedia untuk pergi ke lokasi yang seterusnya. Tepat jam 8.00 malam, kami dibawa menaiki van ke Sungai Kota Tinggi bagi melihat kunang-kunang. Entah mengapa, hati sayabagai dirempuh badai kebimbangan kerana ini merupakan kali pertama saya merentasi sungai. Mungkin kerana saya terlalu bimbang dan gementar untuk menaiki bot kecil yang akan merentasi sungai besar Kota Tinggi pada malam yang sepi ini tetapi pada masa yang sama. Jadi, saya menjadikan ianya sebagai satu cabaran kepada diri saya untuk mencuba perkara yang baharu.

    Terdapat banyak peraturan yang perlu kami patuhi ketika di dalam bot antaranya, kami tidak boleh meletakkan tangan kami didalam sungai ketika bot sedang bergerak. Kedua, kami tidak boleh membuka sebarang bahan api seperti telefon bimbit kerana dikhuatiri kunang-kunang tidak akan kelihatan apabila bertemu dengan cahaya luar. Kami juga diarahkan supaya mengenakan jaket keselamatan agar dapat mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Gambar yang sempat diambil ketika di atas bot.

Sunagi Kota Tinggi.


Gambar yang diambil ketika bot berhenti.

       
     Selepas tamat aktiviti tersebut, kami naik ke darat mengambil beberapa keping gambar di kawasan Sungai Kota Tinggi yang berdekatan dengan Bandaraya Kota Tinggi.


Gambar beramai-ramai setelah naik ke darat.

Gambar pelajar perempuan.

    Selesai menangkap beberapa keping gambar, kami berjalan sambil mengambil angin di Bandaraya Kota Tinggi. Secara kebetulan, terdapat sebuah taman Dinosour yang baru dibuka. Taman Dinosour itu telah menempatkan pelbagai jenis replika dinasour yang diperbuat daripada span yang lembut dan besi. 
Antara replika dinosour di Taman Dinosour.

Gambar kami bersama replika dinosour.

Gambar di dalam replika telur dinosour.

   Setelah penat berjalan, kami singgah di sebuah gerai burger untuk mengisi perut yang berkeroncong. Kami memesan sebiji burger setiap seorang dan juga air kordial berperisa sarsi. Kami duduk dan menjamu selera di ruang makan yang telah disediakan di situ. 


Kami sempat mengambil gambar ketika sedang menunggu makanan.

Kami bergambar bersama pemilik gerai.


   Sesudah kenyang makan, kami berkumpul di dalam van untuk menunggu Encik Ariffin dan Puan Maziah untuk pulang bersama. Selepas memastikan bilangan kesemua ahli cukup, kami bertolak pulang ke tempat penginapan bagi menyiapkan diri untuk tidur dan berehat. 

    Keesokan paginya, sebelum memulakan sebarang aktiviti, kami bersarapan pagi bersama-sama. Pada pagi ini, kami akan ke Masjid Kampung Makam yang terletak tidak jauh dari tempat penginapan kami bagi menghulurkan tangan membantu melakukan persiapan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang akan diadakan pada belah petang nanti. 

Saya membantu membungkus makanan.

Suasana ketika persiapan Majlis Maulidur Rasul.
      
   Selepas selesai membantu, kami dihidangkan lauk- pauk yang lazat seperti nasi beriyani, kambing masak kari, dan ayam masak merah. Kami makan bersama empat orang sedulang. Kami makan dengan penuh berselera dan menghabiskan hidangan tersebut tanpa meninggalkan sebutir nasi. 

Kami makan dalam satu dulang yang sama.

Makanan yang dihidangkan yang sedang dimakan.

Gambar tambahan.

     Selepas selesai makan, kami bersalaman dengan masyarakat setempat Kampung Makam dan memint adiri untuk pulang ke tempat penginapan. Setibanya di tempat penginapan, kami beehat sebentar dan membersihkan diri. Selepas satu jam, kami pergi ke bahagian dapur untuk membantu Puan Maziah dalam menyediakan hidangan istimewa untuk malam ini. Kami menolong Puan Maziah untuk menyiang ikan dan membersihkan ketam. Kami juga turut membantu Puan Maziah menyediakan rempah ratus yang sesuai untuk diperap bersama lauk pauk tersebut. 
Kami membantu Puan Maziah membersihkan ketam didapur.


     Jam tepat menunjukkan pukul 6.00 petang. Kami bergegas mengangkat kaki untuk ke bilik bagi menyiapkan dan membersihkan diri bagi menghadiri jamuan malam nanti. Bersempena dengan malam terakhir kami di sini, Puan Maziah dan Encik Ariffin menyediakan makanan yang amat istimewa iaitu shell out. shell out merupakan kumpulan hidangan-hidangan laut antaranya ketam, udang, ikan dan kupang. Selain itu, kami juga dihidangkan dengan menu  hidangan ayam bakar. 

 Kami melakukan persiapan untuk menyediakan makanan bersama.

Gambar tambahan.

Pelajar lelaki membakar ayam dan memanggang ikan.

Ada yang ditugaskan untuk menghidangkan makanan.

Makanan siap dihidangkan berlapikkan daun pisang.


      Usai menyediakan dan menghidang juadah pada malam tersebut, kami mengambil tempat masing- masing dan bersedia untuk menjamu selera bersama-sama. Seorang pelajar lelaki menjadi wakil untuk memimpin doa makan. Sesudah membaca lafaz Bismillah, saya terus menjamah semua jenis hidangan yang berada di depan mata.

Kami menjamu semua hidangan yang disediakan.

Gambar tambahan.

    Kenyang menjamu kesemua hidangan, kami dibawa ke Jambatan Gantung Kota Tinggi untuk menghirup udara segar pada malam hari sambil menikmati pemandangan air sungai dari atas. Kami juga tidak melepaskan pelung untuk mengambil gambar semasa berada di atas jambatan tersebut. 


Gambar yang sempat diambil ketika di atas jambatan gantung.

Ganbar tambahan.


   Selesai mengambil gambar, kami pun pulang ke tempat penginapan untuk tidur dan berehat bagi mendapatkan rehat yang cukup untuk menjalani aktiviti pada hari yang berikutnya.

    Pada keesokan harinya, kami bertolak dari tempat penginapan ke lokasi yang kedua terakhir iaitu Muzium Kota Tinggi. Lokasi muzium tersebut tidak jauh daripada tempat penginapan kami. Jadi, ia tidak mengambil masa yang lama untuk tiba di sana.

   Setibanya di dalam muzium, kami diringi oleh seorang pekerja muzium yang ditugaskan untuk membantu menerangkan kepada kami tentang sejarah dan asal usul Kota Tinggi. Kami juga digalakkan untuk menanyakan sebarang soalan terhadap kekeliruan tentang sejarah tersebut. Saya berasa sangat teruja kerana dapat menimba ilmu yang baharu.

Kami diberikan penerangan oleh petugas muzium tersebut.

Para pemerintah Kesultanan Melayu Johor dari tahun 1699 hingg 1877.

Contoh senjata pada zaman pemerintahan raja-raja terdahulu.

Artifak peninggalan disusun secara rapi dan teliti di dalam muzium.

Kami bergambar bersama artifak peninggalan berabad tahun lalu.

   Selain melihat artifak peninggalan kerajaan yang terdahulu, kami juga berkesempatan untuk melihat dan mempelajari beberapa jenis tengkolok yang diapakai olrh masyarakat terdahulu. Tengkolok yang dipakai oleh setiap masyarakat berbeza mengikut karakter individu tersebut

Pelajar lelaki memakai tengkolok yang disediakan di muzium.

Kami juga sempat mencuba pakaian dan tengkolok tersebut.

Kami bergambar di bahagian hadapan muzium.


      Selesai mengunjungi muzium, kami bergegas mengangkat kaki ke lokasi yang terakhir iaitu Air Terjun Kota Tinggi. Ini merupakan detik-detik dan aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh kami semua. Walaubagaimanapun, kami singgah dahulu ke Masjid Kampung Makam untuk menunaikan solat fardhu zohor. Walaupun pada petang tersebut hujan turun renyai-renyai, kami tetap bertekad untuk meneruskan aktiviti kami yang terakhir iaitu mandi-manda di Air Terjun Kota Tinggi. Walaupun cuaca dan air pada waktu tersebut agak sejuk, kami tidak menghiraukannya oleh kerana perasaan teruja yang amat tinggi. Malah, tiada seorang pun antara kami yang meninggalkan kawasan tersebut. Kami semua bermandi-manda dengan gembira bersama-sama sambil bergelak ketawa.

Gambar tambahan.

Kami sempat mengambil gambar bersama.

Kami sedang bermandi manda bersama.

    Usai bermandi-manda, kami terus menukar baju yang bersih. Baju tersebut telah kami sediakan sejak kami keluar daripada rumah sebelum ke Muzium Kota Tinggi. Selepas itu, kami pulang ke tempat penginapan untuk mengemas baju-baju dan barang masing-masing untuk dibawa pulang. Setelah selesai solat fardhu asar, kami dihantar ke stesen bas Larkin dan diambil oleh ibu bapa masing-masing. Walaupun saya berasa agak sedih untuk meninggalkan trip ini, tetapi saya berasa sangat beruntung kerana dapat melibatkan diri di dalam program ilmiah seperti ini.
    
    Pada pendapat saya, trip yang diadakan ini bukanlah hanya untuk berseronok tetapi juga dapat mendatangkan ilme yang bermanfaat kepada saya. Selain itu, saya juga merasa gembira kerana dapat mengumpul banyak pengalaman-pengalaman baharu.


    Melalui penulisan blog saya pada kali ini, saya dapat mengekalkan kelestarian dan nilai estetika sesetengah bangunan di Bandaraya Kota Tinggi dengan berkongsi pengalaman dan gambar-gambar yang menarik untuk memberikan impak yang besar kepada para pembaca. Sebagai contoh, dari aspek bangunan bersejarah iaitu Rumah Dang Anum. Saya ingin memperkenalkan rumah tradisional ini kepada pelancong kerana rumahyang berkonsepkan tradisional moden ini kian dilupakan dari zaman ke zaman oleh kerana faktor konsep perumahan moden pada zaman kini.


Sekian sahaja blog saya untuk hari ini. Terima kasih kepada yang sudi membaca !

Selamat Datang ke Blog Saya ! Trip ke Kampung Makam, Kota Tinggi.                                                            ...